Jom kawan - kawan! Kita baca Du'a, yuk! ^____^ al - Fatihah . . .

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani... Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. Aamiiin~!!!

Pengikut Tidak Berganjak

gravatar

Seorang Sahabat : Menegur & Memberi Nasihat dalam Suka dan Duka

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah~!

Segala puji bagi Allah SWT yang masih mengizinkan lagi saya dan kamu hidup di atas muka bumi ini. Dalam sedar tak sedar, kita sudah melangkah ke bulan Februari. Cepat sungguh masa berlalu. Semoga kita semua telah dan akan mengisi masa kita dengan sebaik-baik amalan. Insya-Allah.




Sahabat

Bila sebut tentang sahabat. Sudah pasti ramai yang mengetahui maksud yang tersurat dan tersirat daripada perkataan ini. Malah dalam post-post saya sebelum ini juga banyak yang berkaitan tentang sahabat. Masih tidak puaskah menulis tentang sahabat?

Tidak. Saya takkan pernah jemu menulis tentang sahabat atau perkataan sahabat.

Sahabat. Ramai yang mendefinisikan erti sahabat ini mengikut kata hati atau mengikut apa yang mereka faham dan selami. Sahabat ialah seorang atau beberapa individu yang sanggup berkongsi suka dan duka dalam perjuangan, yang sanggup bersama ketika susah dan senang, yang boleh menangis dan tertawa bersama-sama dalam keadaan apa sekalipun, dan yang penting.. Yang sanggup dan mampu mendoakan sahabat atau saudaranya didalam selitan setiap doanya.

Pengertian sahabat ini juga jika kita luaskan maknanya, maka semua boleh menjadi sahabat. Contoh, laptop, buku-buku, kakak, abang, adik, mak abah, isteri/suami, malah anak-anak juga boleh menjadi sahabat kita. Hatta, alam ini pun sahabat kita juga! Allah SWT itu sendiri juga sahabat kepada kita.

Saya cukup hairan dengan mereka-mereka yang bisa berkata bahawa mereka tiada sahabat atau tidak memerlukan sahabat. Mana mungkin boleh begitu? Saya sendiri tidak tahu apa masalah mereka. Sama ada mereka yang berusaha tidak mencari sahabat atau memang benar-benar langsung tidak memerlukan nama 'sahabat' dalam kehidupannya? Atau sama ada mereka ini berhati batu atau ada pengalaman yang pahit di dalam ukhwah persahabatan? Wallahu'alam.

Tak Boleh Hidup Tanpa Insan Bernama Sahabat

Tidak boleh hidup tanpa ada sahabat? Oh. Tidaklah juga saya katakan begitu. Hal itu memang boleh sahaja. Namun jika keadaannya demikian, saya sendiri, merasakan ada kepincangan dalam kehidupan saya. Memang seorang manusia itu boleh hidup tanpa ada seorang insan yang bergelar sahabat dalam kehidupannya. Namun kegembiraan yang dikecapi tanpa dikongsi dengan insan-insan tertentu bagi saya tidak sempurna, selain daripada berkongsi dengan keluarga.

Hidup ini memang memerlukan teman.

Saya sendiri pernah menyaksikan peristiwa yang menunjukkan bahawasanya sahabat ini memang mempunyai satu pengaruh yang besar terhadap kehidupan seseorang itu. Ada yang terpengaruh ke arah kebaikan, seterusnya lebih mendekatkan diri ke arah redha Allah SWT dan tidak kurang juga peristiwa yang pernah saya saksikan, pengaruh sahabat yang tidak baik memberi impak yang besar kepada sahabat yang lain dan seterusnya menjadi sahabat kepada syaitan tanpa disedari. Maka, jika menginginkan kehidupan yang lebih baik dan menjurus kepada mardhatillah, carilah sahabat yang bisa mengenalkanmu apa itu erti persahabatan yang berpaksikan kasih-sayang Allah SWT yang sebenar.

Mengambil kisah para sahabat Rasulullah SAW, dan Baginda sendiri. Bilal bin Rabah, Salman al-Farisi, Abu Ubaidah, Abu Bakar, Usman, Ali dan beberapa sahabat Baginda. Betapa kasih-sayang antara mereka ini begitu kuat kerana Allah. Sanggup berlapar demi melihat sahabatnya dapat menyuapkan makanan ke mulut. Sanggup merentas benua, berjuang bersama-sama ; antara hidup dan mati. Jika difikir-fikir, kenapa para sahabat sanggup berbuat sedemikian? Fikir-fikirkan.




Menegur Dalam Apa Jua Keadaan

Saya punya beberapa orang sahabat yang saya sayangkan kerana Allah SWT. Saya pasti mereka akan mendoakan saya dan begitu juga saya, mereka sentiasa dalam titipan doa saya ke hadrat Allah SWT. Dan saya yakin, sekiranya saya terjatuh dalam permainan dunia, pasti mereka-mereka ini akan berusaha menarik tangan saya kembali ke jalan yang asal selagi mereka mampu untuk memandu saya. Dan mereka menegur kesilapan saya walaupun dalam sekecil-kecil perkara.

Saya rindu kepada seorang sahabat saya yang seorang ini. Saya pernah berbuat sesuatu yang tidak manis atau kurang elok dipandang dan didengari, dan saya tidak sedar akan hal itu. Sahabat saya yang tadi masih tidak mampu untuk menegur saya secara lisan, tetapi dia menegur saya dengan menghantarkan SMS kepada saya walaupun jarak antara kami hanya 3 atau 4 meter sahaja. Saya baca SMS yang dia berikan, saya tatapi dan saya muhasabah diri kembali. Lalu saya datang kepada sahabat saya yang tadi dan menggenggam erat tangannya. Saya bersyukur punya sahabat seperti dia. Semoga Allah SWT rahmati kehidupannya.

Sahabat. Sahabat adalah mereka yang tegar memberikan nasihat dan teguran kepada sahabat yang lain. Sama ada perkara itu kecil ataupun sebesar-besar perkara. Sahabat tidak memendam dan hanya menggunakan teguran selemah-lemah iman ; tegur dengan hati. Dan saya suka dan bersyukur punya sahabat yang sentiasa menegur setiap apa yang kurang elok. Saya cuba untuk meluruskan sahabat saya, dan sahabat saya juga mencuba untuk meluruskan saya. Pendek kata, kami semua saling melengkapi antara satu sama lain.

Apabila duduk bersama-sama dengan sahabat, berbual dengan sahabat walaupun dengan hanya melalui telefon, hati saya menjadi gembira dan tenang. Masalah atau keserabutan seakan-akan terhakis daripada pemikiran apabila bercakap atau memandang sahabat-sahabat saya sepertimana hati saya menjadi tenang apabila memandang kedua orang tua saya sendiri. Bibir sentiasa mengukir senyuman dan pelukan sentiasa menghangatkan kasih-sayang. Saya berasa sungguh tenang dan damai, kerana saya tahu.. Kami berkasih-kasihan kerana Allah SWT. Dan kerana saya tahu, kami akan cuba untuk menjadi terbaik juga kerana Allah SWT.

Saya cintakan mereka semua dengan sepenuh hati saya. Saya cintakan mereka semua kerana cinta yang Allah SWT kurniakan ke dalam hati ini.




Memang ternyata, jelas dan teranglah. Sahabat amat penting dalam perjalanan sepanjang hidup. Jika tidak, masakan Baginda pernah bersabda bahawa sahabat yang baik ibarat seorang penjual minyak wangi, manakala sahabat yang tidak baik ibarat seorang penjual/pelebur besi panas. Jika hendak menjadi baik, maka carilah sahabat yang baik. Kerna sahabat ini ialah mereka yang senantiasa sedaya upaya menghulurkan tangan untuk menarik tangan sahabatnya andai sahabatnya itu kecundang dalam permainan dunia.

Mari bersama-sama kita mencari sahabat dalam menuju mardhatillah.

Apakah anda tidak mahu bersahabat dan merasai kemanisan dalam bersahabat? Apakah anda masih berpegang pada prinsip tidak memerlukan sahabat dengan alasan anda mampu hidup dengan sendiri. Kalau begitu, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Tetapi, ingin saya khabarkan, bahawa anda telah melepaskan nikmat kurniaan Allah SWT yang satu ini.

Saya sudah punya sahabat, insya-Allah. Sahabat saya sampai sehingga ke akhirat dan sampai syurga. Sahabat dimana kami susah senang akan bersama. Dimana kami saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Semoga Allah mengizinkan hubungan kam ini berkekalan dengan mekar mengharum dari setiap doa-doa yang kami titipkan.

Semoga Allah merahmati.

gravatar

Renungan Bersama : Dakwah Baginda Muhammad SAW

Ketahuilah.. .

Rasulullah s.a.w. dan generasi itu telah tiada! Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Kehadiran insan ajaib itulah telah memuliakan kita pada saat ini.

Muhammad, kekasih Ilahi. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula dari seorang diri, menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.

Ucapan Baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu yang suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulainya mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni.

Bilamana ada perdebatan dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Bilamana mendapat tekanan, rintangan serta siksaan, berlaku sabar dan melontarkan doa kasih nan sejati. Firman Allah:

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن

Dengan rahmat dan kurnia Ilahi, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu, terbentuklah masyarakat dan jemaah Islam pertama, jamaah Rasulullah dan para sahabi. Jemaah baru itu masih sangat kecil dan merupakan ghuroba’ (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran Baginda sendiri.

Golongan ghuroba’ inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik ummat ini. Mereka tak punya apa-apa, melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji Allah itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah dan kebaikan terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi.

Jalan dakwah dan kebaikan inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dan kehinaan dari akar umbi.

Sabda Rasulullah s.a.w:
ألا إن الإسلام دائرة فدورا مع الإسلام حيت دار.الا إن السلطان والقرأن سيفترقان فلا تفارقوا الكتاب
‘Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran.’


Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju Allah, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri; iaitulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi.

Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi. Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai hati.

Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana , ada perbezaan antara keduanya di alam abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi.

Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai persiapan yang serius untuk mengadap-Nya? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membeli redha Allah? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu!

Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba’. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dengan-Nya. Oh, adakah kau masih teguh dengan prinsipmu?

Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba’ ini? Mungkinkah kelalaian kita yang berterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah!


Ya Allah, bantulah kami untuk tetap layak berada dalam kebenaran, di atas jalan-Mu. Jangan sesekali Kau menapis kami dari rahmat dan jalan-Mu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Amin…

Nukilan Fatimah Syarha Mohd Noordin.

gravatar

Terimalah Seadanya Keadaan Sekelilingmu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Lagi sekali, sebuah novel sudah dapat dihabiskan. Alhamdulillah! Novel yang saya baru habiskan tadi bukan novel yang sebelum ini. Apa tajuknya? Biarlah rahsia. Sesekali ingin merahsiakan seperti Siti Nurhaliza. Yang penting bukan novel cintan-cintun yang ceritanya berderet-deret, tebal.. Tetapi jalan cerita sama saja.

Setakat ini, saya boleh tidak menundukkan nafsu tidur ini untuk memejamkan mata. Semoga sampai ke pagilah hendaknya. insya-Allah!

Saya cuba untuk berjalan-jalan di alam maya dengan melihat rakaman video Sesi Muhasabah, berkesan! Mengalirkan airmata seterusnya menyegarkan biji mata. Harapkan kopi kaw-kaw tadi, tidak mampu untuk menundukkan nafsu tidur saya.

Kisah Pakcik Saya

Teringat dua hari yang lalu, selepas sahaja solat maghrib, memanjatkan doa kepada yang Maha Memperkenankan doa.. Lalu saya rebah. Niatnya hendak merehatkan diri sebentar sambil menunggu waktu Isyak disebabkan penat berulang-alik ke hospital pada siang hari, tetapi syahid juga di atas hamparan sejadah. Dan yang membuatkan saya tersenyum lucu adalah bila adik bongsu kepada mak masuk bilik saya untuk bertanyakan keadaan saya, dan beliau terkejut dengan keadaan saya yang sedemikian. Dengan telekung dan sejadah masih melekat di badan dan muka pucat semacam, beliau menyangkakan saya pengsan lalu memanggil adik bongsu dan mulalah heboh satu rumah. Astaghfirullah. Sampai macam tu sekali.

Sungguh mengambil berat pakcik saya ini. Beliau sudah berubah sedikit demi sedikit. Kalau dulu, garangnya mengalahkan harimau. Masa kecik-kecik dulu memang anti dengan beliau disebabkan ketegasannya tak bertempat. Tetapi bila saya dah besar macam ni, perlahan-lahan saya dapat rasa perubahan dalam dirinya dan saya selalu mendampingi beliau.. Ingin membenarkan beliau berubah. Sebab tu saya selalu berpesan pada adik-adik dan mak, benarkan beliau berubah dengan kita menerima dirinya seadanya. insya-Allah! Walaupun tak boleh berubah sangat mengikut kompas Rasulullah SAW. =)

Paling terharu adalah apabila beliau meluahkan masalah hidupnya kepada saya. Tidak saya sangka beliau boleh mengalirkan airmata sambil menceritakan semua masalahnya. Selama ini beliau dikenali dengan hati yang keras dan garang sampai orang boleh termuntah. Saya? Saya hanya mampu mengawal perasaan sambil menasihati secara santai sahaja. Tanggungjawab dan kepercayaan secara automatik tergalas di bahu bila beliau menceritakan apa yang dipendam. Dan sebab itulah juga, seboleh-bolehnya saya memberikan nasihat dan menunjukkan simpati serta dapat memberi empati terhadap keadaan beliau.

Itu cerita dua hari lepas, semalam selepas maghrib.. Beliau datang mengetuk pintu bilik dan menghulurkan dua batang Banana Q. Merasa bertuah sungguh dapat layanan macam ni. Inilah antara nikmatnya bila sakit. Dapat layanan VVIP. ^_^ Tetapi yang tidak sedapnya pula adalah bila ditanya mengenai sudah makan ubat ke belum? Ha! Menjawablah saya dengan teragak-agak. Memang liat benar anak saudara beliau ini bila sebut pasal ubat.

Saya tak kisah apa pandangan orang lain bila saya berjalan dengan beliau di bandar. Dia pakcik saya, dia tanggungjawab saya. Dan saya sayang dia. Err.. Walaupun tak pernah ucap dengan dia, tapi saya sayangkan dia kerana Allah SWT.

Menganggap Allah SWT tidak ADIL

Semalam juga, sebelum maghrib.. Saya pergi hospital. Usai sahaja, saya menunggu keluarga di dalam kereta. Malas mendengar bebelan doktor sebenarnya. Sambil menunggu tu, terdengar tazkirah pendek dari seorang Ustaz/Imam Masjid Besar Sandakan.

Manusia adakalanya terlupa dan selalu menganggap terkadang-kadang ujian Allah SWT itu adalah tanda Dia tidak mengasihi hamba-Nya. Bila di dalam kesenangan, lalu datang musibah yang tidak pernah disangka-sangka dari arah yang juga tidak disangka-sangka, maka hilanglah segala pertimbangan.

Manusia juga ramai yang menganggap Allah SWT itu tidak adil bila menimpakan musibah yang besar buat si penerima musibah. Sedangkan diluar sana ada lebih banyak dan lebih teruk lagi musibah yang menyapa kehidupan hamba Allah yang lain. Persoalannya, siapa manusia itu untuk berkata bahawa Allah SWT tidak adil?

Berputus - asa

Saya sendiri pernah berasa putus asa. Merasakan bahawa dunia ini gelap pada suatu masa dahulu. Tiadanya sinar melainkan membawa diri memenatkan batang kaki sendiri. Namun saya tidak dapat menipu diri sendiri bahawa, saya merindukan Allah SWT. Saya rindu untuk mengadu pada DIA. Ya! DIA satu-satunya yang saya rasakan sangat memahami walaupun pada mata kasarnya saya mungkin berbicara seorang diri. Tapi, Dia ada rahsia dan cara tersendiri untuk bertindak balas terhadap luahan hati saya pada masa itu. Dan alhamdulillah. Saya dapat merasakannya.




Diingatkan di sini, putus asa bukan jalan penyelesaian kepada masalah. Begitu juga bunuh diri atau merosakkan diri sendiri dengan menyengajakan diri kita terjerumus dalam lembah kemaksiatan.

Seorang Ustazah dan sahabat baik saya pernah berpesan.. Jangan memandang mereka-mereka yang tersasar dari landasan kebenaran dengan kebencian, tetapi pandanglah mereka dengan penuh kasih-sayang walaupun mungkin pandangan kamu akan dibalas dengan pandangan kebiadapan. Yup! Saya terima dan cuba sematkan di dada akan nasihat-nasihat mereka.

Kerana saya ada mereka, dan mereka ada saya.

"Jangan putus asa.. Kita mesti bersemangat! Kalau nda, macam mana Islam boleh maju??" Masih terngiang-ngiang ditelinga saya kata-kata seorang ukhti yang sempoi.

"Cewek-cewek sekalian, ingat! Putus asa itu bukan sifat orang Muslim yang beriman!" Beliau menegaskan kata-katanya. Memang shahih kata-katanya. Dan saya tertunduk menginsafi diri. Bila mendongak, kelihatan beliau memandang ke arah saya lalu mengenyitkan mata. Saya membalas dengan senyuman.

Jangan Kufur Nikmat!

Selalu sahaja manusia akan cepat melatah dan bermulut celupar bila Allah SWT menjentik sedikit sahaja dengan menarik kembali nikmat-Nya. Tidakkah kita berfikir wahai manusia, yang Allah SWT tarik balik itu adalah harta-Nya, seterusnya dugaan dan kasih-sayang terhadap kita. Tapi mengapa masih tidak boleh bersyukur dan redha.

Ah! Beginilah manusia di zaman sekarang agaknya. Amatlah mencabar bagi mereka yang tidak dapat menahan diri sendiri. Saya, kadang-kadang geram bila melihat drama-drama di tv, bilamana ada ujian yang menimpa diri... Lalu, adalah dialog persendirian seorang hamba dengan Tuhannya, menepuk-nepuk dada ibarat king kong dan berulang kali bertanyakan soalan, "Mengapa! Mengapa!? Mengapa?!" Iya, ianya sebuah drama, tapi bukankah diadaptasikan daripada kejadian benar yang berlaku? =)

Jadi pengajarannya, apapun yang berlaku dalam kehidupan ini. Sama ada baik atau buruk, belajarlah mengekalkan kesucian Allah dihatimu. Jika tidak dapat dihatimu, maka perlihatkanlah Nur-Nya melalui bibirmu. Jangan membuat tindakan bodoh yang berada diluar keterbatasan sebagai seorang manusia.

Tersungkur, tersepak batu dan sebagainya.. Cuba bersama ucapkan Alhamdulillah atau Subhanallah. InsyaAllah! Pasti ada kelainan yang dirasai. Sematkannya di dalam hati.

Semoga Allah merahmati.

gravatar

Pengembaraan yang Hakiki

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah! Sangat bersyukur kita pada Allah SWT kerana membuatkan kita adanya di alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan insyaAllah kita juga akan dimatikan dengan izin-Nya. Kita sebagai manusia, telah dipinjamkan oleh-Nya jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang telah diperuntukkan oleh Tuan Punya Dunia, dan kita sendiri tidak mengetahui akan hal itu. Allah SWT sebaik-baik pengatur!

Kehidupan kita ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah seperti sebuah pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat dalam menuju perjalanan ke suatu destinasi abadi, yang jauh, memerlukan banyak bekalan. Dan, untuk mendapatkan bekalan itu.. Memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi. Dalam perjalanan ini kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan atau perasaan atau suasana.. Saat-saat gembira dan saat-saat kesedihan. Kedua-dua perasaan ini juga pernah dialami oleh para Nabi dan Rasul Allah dan apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina ini. Masya-Allah!

Kita ambil contoh yang terdekat, juga idola semua umat Islam. Manusia yang sungguh saya pandang tinggi dan saya sanjungi. Rasulullah SAW, hidup Baginda penuh dengan saat-saat yang menggembirakan, tidak kurang juga saat-saat yang menyakitkan yang sesekali mengundang airmata Rasulullah SAW menandakan Baginda juga seorang manusia biasa. Kegembiraan Baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai dengan jalan yang ditinggalkannya. Dan kesedihan Baginda, ialah apabila menyaksikan ummatnya tersasar jauh dari jalan yang Baginda tinggalkan dan umatnya mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.

Hidup ini : Keseronokan dan Kebahagiaan Sementara

Tentunya dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi cinta, banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamatnya dan sesekali terasa ingin berputus-asa untuk ke destinasi. Bagi seorang pengembara yang bijak dan pandai, semestinya dirinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan di dunia yang sementara kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam yang kekal abadi : syurga Allah. Dan bagi seorang pengembara yang senang dan seronok menikmati keseronokan di dunia tanpa memikirkan dunianya yang kekal abadi, dirinya akan memuaskan hawa nafsu sepuas-puasnya seolah-olah inilah dunia yang kekal selamanya sehingga dirinya terlupa matlamat atau cita-cita sebenar untuk menuju ke dunia yang sebenar. Mereka terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Dengan tidak mengendahkan suara iman mereka, mereka terus-menerus meletakkan halawatud dunya dihati mereka dan menyangka bahawa itulah matlamat sebenar mereka.

Saya teringat kata-kata seorang ustaz saya, Ustaz Mizi. Beliau berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu atau penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda yang besar, yang sedang menuju destinasi berhari-hari, malah bertahun-tahu lamanya.




Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang telah diberikan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita : Al-Quran dan As-Sunnah. Dan untuk sampai ke destinasi cinta @ destinasi abadi, pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di dunia sebanyak yang mungkin. Letakkanlah segala keseronokan dan kenikmatan serta kekayaan di dunia ini di tangan kita dan anggaplah semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke destinasi cinta.

Oleh itu, sebagai seorang pengembara, kita seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana satu bekalan dan mana satu bebanan. Bekalan ialah sesuatu amalan yang memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju negeri akhirat, manakala bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita ke negeri akhirat.

Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di negeri akhirat kelak. Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari. [Al-hadis]

Kesimpulannya

Persiap dan mantapkan diri kita. Sebagai seorang pengembara yang kita sendiri masih belum tahu bila akan sampainya ke destinasi yang dituju, perlunya kita mencari bekalan sebanyak mungkin. Dan berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita. Wajibnya kita menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kita semua yang ada di muka bumi ini adalah pinjamannya untuk menguji kekentalan iman hamba-hamba-Nya. Begitu juga hubungan kita sesama manusia, saling berpegangan tanganlah kita semua agar tiada yang terjatuh dari atas kapal dunia ini tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya.

Sebaik-baik bekalan adalah iman dan takwa.

Masih ingatkah kita pada kisah Rasulullah semasa Isra' dan Mikraj? Dalam perjalanan Baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru sahaja beberapa saat ditanam, terus berbuah dan dituai dan begitulah seterusnya. Inilah ibarat keadaan orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak putus-putus menrima ganjaran pahala yang banyak di sini Allah SWT. Ganjaran ini akan dinikmatinya di akhirat kelak, insyaAllah!

Semoga saya, kamu dan kamu adalah seorang pengembara yang bijak dan sentiasa meletakkan kenikmatan di dunia ini di telapak tangan dan bukannya dihati. Yang sentiasa mendoakan pengembara yang lain dan mengingati setiap pengembara didalam doanya. Dan semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT adalah tujuan utama. Takbir~!

Semoga Allah merahmati.

gravatar

Finished! <-- Lebih-lebih Pulak!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah. Selesai sudah saya habiskan pembacaan saya dengan buku Munajat Cinta. Pengakhiran yang penuh dengan kesedihan tetapi disertai dengan kasih-sayang dari Allah swt. Akhirnya dia temukan siapakah dirinya.. Dan akhirnya juga, Raudhotul Jannah serta Raihan telah dipanggil Ilahi terlebih dahulu. Raihan, telah pergi meninggalkan kakaknya sebelum kakaknya sempat menjawab setiap pertanyaan yang pernah diadukan olehnya.

Raudhoh pula.. Ayda hilang waras seketika setelah mengetahui bahawa Raudhoh telah tidur selamanya. Tidak keruan dibuatnya. Sehingga saya pun turut terasa kehilangan Raudhoh di alam realiti ini. Seutas tasbih serta beribu-ribu ayat-ayat ilmu serta nasihat kepada Ayda jadi peneman kepada diri Ayda. Hanya doa mampu dititipkan buat sahabatnya yang digelar kakak walaupun hanya tua dua hari menandakan hormatnya Ayda kepada Raudhoh.

Saya tertarik dengan perjalanan hidup Ayda. Jikalau saya yang berada di tempatnya, belum tentu saya bisa berbuat demikian. Ayda memang kuat semangat, tabah, serta cepat belajar dengan sesuatu yang baru.

Eh3~! Sesiapa yang nak baca buku ni, belilah. Lain orang, lain cara penerimaan dan penghayatan. Seperti dalam post sebelumnya, mungkin disebabkan perjalanan hidup saya dan Ayda ada sikiiiiiiiit persamaan. Dan insyaAllah, sekarang ini sedang beralih ke buku yang lain pula. Bi iznillah!